Sunday, September 12, 2010

Pengertian Dan Konsep Pentaksiran, Pengujian dan Penilaian

Pengertian dan konsep pentaksiran, pengujian dan penilaian

Konsep Pentaksiran
Pentaksiran ialah satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan. Maklumat meliputi hal- hal berkaitan topik, bukti dan prestasi. Penghakiman melibatkan hal-hal seperti pertimbangan dan pencapaian aspek pendidikan, manakala produk pula melibatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Proses pendidikan pula melibatkan operasi, dapatan dan hasil. Aspek-aspek utama dalam pentaksiran ialah:-
i. Instrumen
ii. Kumpulan yang ditaksir
iii. Respon
iv. Kumpulan yang menaksir
v. Skor
Konsep Pengujian
  • Menurut kamus Dewan Bahasa Edisi keempat, pengujian didefinisikan sebagai pengujian perihal menguji, pemeriksaan;
  • Merupakan satu kaedah dalam pengukuran dan dijalankan dengan cara yang sistematik.
  • Ia juga satu cara bagi mengukur tingkah laku seseorang individu.
  • Ia dilaksanakan dalam tiga peringkat iaitu, sebelum, semasa dan selepas sesuatu pengajaran.
  • Ujian boleh diberikan sebelum sesuatu pengajaran berlaku dengan tujuan untuk mengumpul maklumat. Ujian itu dikenali sebagai ujian pra atau pre- test.
  • Semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku ujian diberikan sama ada secara lisan atau bertulis. Ujian ini bagi mengetahui kemajuan yang dicapai oleh pelajar-pelajar dan pemahaman mereka terhadap P&P guru.
  • Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menghuraikan dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori.
  • Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam Raminah Haji Sabran (1991) yang menegaskan bahawa:
Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan. (Raminah 1991:2)
Ujian ialah satu alat. Dalam P & P bahasa, ujian ialah bahan yang bertulis atau tercetak atau terakam yang telah dibentuk oleh guru untuk menguji sesuatu kemahiran bahasa. Misalnya, guru membina ujian kloz bagi menguji kefahaman membaca atau ujian imlak bagi menguji kefahaman mendengar. Namun, perlu diingat bahawa ujian mungkin menjadi kurang baik jika pentadbir ujian menggunakannya dan menginterpretasinya secara tidak jujur. Oleh itu, ujian perlulah digunakan sesuai dengan perkara yang hendak diuji itu. Contohnya jika guru menguji tahap kefahaman murid Tahun 4 dengan menggunakan bahan bacaan yang layak untuk Tingkatan 1, sudah semestinya keputusan pelajar ini tidak menggalakkan.
Konsep Penilaian
  • Menurut kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4, penilaian didefinisikan sebagai perihal atau perbuatan menilai, pentaksiran: menurut ~ saya, cerpennya yg terbaharu lebih berjaya;
  • Penilaian telah didefinisikan dengan banyak cara. Stufflebeam et. al. (1971: xxv) menyatakan “penilaian” sebagai the process of delineating, obtaining, and providing useful information for judging decision alternatives.
  • Terry D. TenBrink (1974:8) pula menyatakan bahawa penilaian adalah suatu proses mendapatkan maklumat yang akan digunakan untuk membuat
    pertimbangan yang seterusnya digunakan dalam membuat keputusan.
  • Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai.
  • Popham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik mestilah mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan.
  • Penilaian merupakan satu proses untuk memperolehi maklumat kuantitatif. Ia adalah satu proses bagi guru untuk menentukan perubahan tingkah laku dan membuat pertimbangan menilai. Proses menilai dapat memberi maklumat tentang pencapaian objektif pelajaran, kaedah mengajar seorang guru dan keberkesanan sesebuah kurikulum. Pentafsiran penilaian berdasarkan data kuantitatif dan penghuraian kualitatif. Ia boleh dijalankan sebelum, semasa atau selepas satu sesi pengajaran guru. Ia boleh dijalankan berdasarkan sesuatu pembelajaran spesifik atau kepada keseluruhan kurkulum.


No comments:

Post a Comment